Bukan Imej Babi Tapi Beruang Wombat

SHAH ALAM – Penyebaran dakwaan imej babi dalam ucapan Aidilfitri yang terdapat di papan iklan digital di sekitar ibu kota adalah tidak benar.

 

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, imej tersebut merupakan imej beruang jenis Wombat yang merupakan maskot rasmi kepada syarikat IT, Servecorp.

 

Namun paparan imej berkenaan disangka babi dan ia disebar secara meluas menerusi laman sosial.

 

“Pihak kami ingin menyatakan bahawa dakwaan penyebaran iklan babi memakai pakaian tradisional dan dengan ucapan Aidilfitri adalah tidak benar sama sekali.

 

“Imej yang dipaparkan adalah merupakan imej beruang yang menjadi maskot kepada syarikat yang berpangkalan di Australia itu,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

 

Bagaimanapun menurutnya, pihaknya telah mengarahkan syarikat tersebut menarik semula iklan itu dari papan iklan digital.

 

“Ia bagi mengelakkan persepsi buruk oleh orang ramai. Pihak kami kini sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan perkara ini,” katanya lagi.

 

Orang ramai dikejutkan penyebaran paparan papan iklan digital imej seekor beruang yang mengenakan pakaian tradisional dengan ucapan Aidilfitri.

 

Disangka maskot tersebut merupakan seekor babi, iklan tersebut yang dikesan dipaparkan di beberapa papan iklan di ibu kota mula mengundang persepsi negatif orang ramai. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.