Tahanan Polis Meninggal Dunia Di Lokap IPD Maran

KUANTAN 6 Julai – Seorang tahanan lelaki disahkan meninggal dunia selepas pengsan di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Sulaiman A Hamid berkata tahanan berusia 40 tahun itu dikatakan pengsan di dalam lokap kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum polis menghubungi ambulans untuk membawanya ke Hospital Jengka.

Beliau berkata sebaik ambulans sampai, lelaki terbabit didapati sudah tidak bernafas dan pasukan paramedik yang datang memberi bantuan mengesahkan tahanan itu sudah mati.

“Tahanan itu dipercayai menghidap penyakit kencing manis yang kronik dan pernah dibawa beberapa kali menerima rawatan di hospital sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, tahanan yang didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penyalahgunaan Dadah 1983 itu ditahan polis pada 16 Jun lepas.

Kata Sulaiman, tahanan itu juga dalam proses untuk dihantar ke Pusat Pemulihan Gambang dekat sini bagi menjalani rawatan dan pemulihan di pusat pemulihan itu selama dua tahun. – BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140706/dn_23/Tahanan-polis-meninggal-dunia-di-lokap-IPD-Maran#ixzz36g9NXcsL 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.