Peniaga Naik Angin

KUALA LUMPUR – Suasana tegang berlaku dalam Ops Tegas dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan Chow Kit, apabila salah seorang pemilik gerai bazar berang dengan tindakan DBKL menyita barangan perniagaan kerana keberadaan struktur gerai di bahagian laluan kenderaan.

Penguasa Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd Hariyadi Mohd Nor, berkata, keadaan itu berlaku apabila pihak peniaga tidak faham akan syarat lesen meskipun memperoleh kelulusan mewujudkan bazar.

Menurutnya, kegagalan pihak persatuan yang mengurus dan mengawal bazar berkenaan dengan baik juga membuatkan peniaga melakukan sesuka hati.

“Secara dasarnya syarat lesen perniagaan tidak dibenarkan beroperasi atas jalan apatah lagi melibatkan laluan kenderaan di kawasan tumpuan kerana akan menyebabkan kesesakan.
“Bagaimanapun, kita tak mahu berlaku insiden tak elok disebabkan ketegangan yang berlaku. Jadi perkara ini akan dibuat tindakan susulan setelah satu notis dikeluarkan kepada pemilik gerai berkenaan,” katanya pada sidang media selepas operasi yang tamat tengah malam, semalam.

Tambah beliau, ekoran perkara itu, pihak penganjur yang juga membabitkan dua persatuan peniaga, boleh di senarai hitam.

“Mereka sepatutnya bertanggungjawab memantau peniaga-peniaga dan gerai yang didirikan,” katanya.

Dalam operasi menumpukan kawasan Chow Kit dan Jalan Bukit Bintang itu, seramai 32 warga asing telah ditahan atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan, permit tamat tempoh dan salah guna pas lawatan.

Turut dikenakan tindakan adalah sita di Jalan Sultan Ismail membabitkan 12 khemah bazar yang beroperasi tanpa surat kelulusan.

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 46(1) pindaan halangan Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974. Kita juga mengambil enam tindakan sita barangan perniagaan yang dijalankan warga negara asing,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/peniaga-naik-angin-1.296781

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.