Kerana Meskin Kami Makan Apa Sahaja

KOTA BHARU – Puasa dalam keadaan tiada bekalan elektrik dan air amat menyukarkan hidup empat beranak pada tahun ini.

Keperitan mereka semakin bertambah apabila ketua keluarga,  Ariff Sukiman baru sahaja meninggal dunia pada April lalu.

Bukan sahaja terpaksa tinggal di rumah kayu usang yang lantainya hampir runtuh, malah ibu tunggal, Nur Azlina Razid, 34, terpaksa mengangkut air setiap hari untuk kegunaan hariannya sekeluarga.

“Boleh dikatakan setiap hari saya ambil dua tong air dari restoran berdekatan rumah untuk digunakan sebagai air mandi, minum dan memasak, juga setiap hari saya beli lilin untuk kegunaan di rumah.

“Puasa ini, kami makan apa yang ada, biasanya disedekahkan oleh jiran dan orang ramai,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ahli perniagaan, Datuk Sri Sunny  Ung di Jalan Sri Cemerlang, di sini, semalam.

Nur Azlina berkata, sejak kehilangan suami pada 26 April lalu, hidup mereka sekeluarga semakin menderita dan tidak selesa.

“Kadang-kadang saya berhutang duit dan diberi makan oleh mertua yang tinggal berdekatan serta jiran sebelah.

“Saya pernah bekerja di dobi tetapi kini tidak bekerja sebab terpaksa jaga anak, malah sewa rumah juga tertangguh dua tahun,” katanya.

Tiga anaknya iaitu yang sulung, Muhamad Munakid Hazizi, 11, bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sireh dan dua lagi, Nur Alia Balqis Ariff Shukiman, 5, dan Nur Alia Maisara Arif Shukiman, 3, belum bersekolah.

Keluarga tersebut hanya mengharapkan bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Sunny Ung berkata, beliau menemui keluarga berkenaan apabila ternampak Nur Azlina mengangkut air dari restoran berdekatan dengan membawa dua anak.

“Saya tidak menyangka di celah-celah kepesatan bandar, masih ada insan yang tercicir tinggal di rumah usang, tiada elektrik dan bekalan air,” katanya.

Atas sebab itu, beliau menghulurkan bantuan dengan membaik pulih rumah, menukar perabot, bergotong-royong membersihkan kawasan rumah dan menyediakan keperluan elektrik serta air.

“Baik pulih rumah akan dimulakan esok (hari ini) dan kami juga akan menyediakan pakaian untuk mereka meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kami-makan-apa-yang-ada-1.296733

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.