KUALA LUMPUR – Perpecahan orang Melayu bukan berlaku sekali, tapi berkali-kali, justeru bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad digesa berhenti daripada terus memecahkan orang Melayu.
Ketua Puteri Umno Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan, rakyat bijak menilai, apakan masih relevan istilah payung besar, payung kecil atau apa juga payung yang datang daripada kumpulan punca segala perpecahan?
“Perpecahan orang Melayu bukan berlaku sekali, tapi berkali-kali. Antara yang terbesar datang daripada parti Bersatu yang Tun M tubuhkan pada 2016.
“Dan Tun ‘terhenti keahlian’ erti kata lain dipecat daripada parti sendiri pada Mei 2020. Kemudian Tun kalah pada PRU-15, dimalukan hingga hilang deposit oleh calon daripada parti yang Tun tubuhkan.
“Selepas 5 tahun Tun muncul bersama parti yang memecat untuk tubuhkan ‘payung besar’
“Cukup-cukuplah dengan retorik purba.Apabila ‘payung besar’ ini gagal, adakah akan ditubuhkan pula ‘payung besar 2.0 atau payung besar 3.0 dan seterusnya?
“Tun jadi Perdana Menteri ketika saya masih kecil, nasihat saya Tun ‘enjoy your life’, gesa Nurul Amal dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
4 Jun lalu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi platform bagi penyelesaian masalah orang Melayu yang gagal ditangani oleh kerajaan.