Pelaburan asing dijangka pulih kedudukan Ringgit Malaysia – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi-polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.

Perdana Menteri berkata, ini termasuk dasar dalam menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (New Investment Policy, NIP).

Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makro ekonomi yang stabil terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas.

“Dari sudut pentadbiran dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act, FRA) yang akan dibentangkan kepada Parlimen tahun ini akan memacu penambahbaikan yang diperlukan.

“Langkah-langkah ini, berserta dengan kestabilan politik negara, dijangka dapat meningkatkan daya tarikan jangka panjang Malaysia kepada pelaburan langsung asing (foreign direct investment) berkualiti yang akan menyumbang kepada penciptaan perkerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan tinggi,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar menegaskan, sebagai sebuah negara perdagangan dan ekonomi yang terbuka, nilai ringgit dipengaruhi oleh kuasa pasaran.

“Dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik.

“Pemulihan kestabilan pasaran dunia, penambahbaikan sentimen pelabur dan lebihan penerimaan pertukaran wang asing yang dipengaruhi oleh kegiatan teras ekonomi negara dijangka akan dapat memperkukuhkan nilai ringgit,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan, pendekatan Bank Negara Malaysia (BNM) pula tertumpu kepada memastikan pelarasan ringgit berada dalam keadaan teratur.

Beliau berkata, untuk menangani kemeruapan (volatility) pasaran pertukaran asing, BNM akan terus menguruskan risiko-risiko dari perkembangan domestik dan luaran, serta bersedia untuk menggunakan instrumen dasar operasinya bagi memastikan
keadaan pasaran yang teratur.

“Risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai (hedging instruments), penekanan kepada pinjaman luar yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi.

“Kerajaan juga peka bahawa pergerakan ringgit akan mempunyai kesan ke atas harga barangan, terutamanya yang diimport.

“Analisis BNM turut menunjukkan bahawa setiap pergerakan 5 peratus dalam kadar pertukaran ringgit berbanding dengan dolar AS dikaitkan dengan perubahan sekitar 0.3 ppt (percentage point) secara purata dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia dalam jangka panjang.

“Namun, pergerakan kadar pertukaran hanyalah salah satu daripada faktor yang menyumbang kepada harga yang lebih tinggi,” jelas beliau.

Dalam pada itu tambahnya, faktor-faktor lain termasuk kenaikan kos pengangkutan dan kos tenaga serta permintaan yang kukuh.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Perpaduan telah mengambil langkah-langkah yang lebih holistik dan komprehensif seperti mengawal harga barangan dan melalui inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan bagi membantu Rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat,” ujar Anwar lagi.

Sementara itu, Perdana Menteri juga menekankan bahawa prestasi ringgit berbanding dengan dolar AS, atau mana-mana mata wang lain, tidak harus dijadikan pengukur kedudukan ekonomi negara.

Jelasnya, walaupun nilai mata wang ringgit menurun berbanding mata wang AS, namun kadar pertumbuhan ekonomi pada tahun 2022 telah melebihi paras prapandemik.

“Ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang kukuh antara 4 peratus dan 5 peratus pada tahun 2023 (seiring unjuran IMF 4.5 peratus); dan KDNK suku pertama 2023 mencapai pertumbuhan 5.6 peratus. Lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Permintaan dalam negeri akan terus mendorong pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih serta pelaksanaan projek pelaburan jangka panjang. Pada masa yang sama, pasaran eksport dan segmen produk Malaysia yang pelbagai akan terus menyokong daya tahan sektor luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kesan kejatuhan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara dan apakah pendekatan yang akan digunakan untuk mengukuhkan nilai ringgit?

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat