Mahathir Pernah Minta Guan Eng Beri Lebih RM10,000 Kepada Kedah Setiap Tahun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan adalah melampau menuduh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melakukan jenayah berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan daripada segi sejarah terdapat bukti bahawa Inggeris telah membayar Sultan Kedah selepas mengambil alih wilayah tersebut.

“Saya tidak mahu terlibat dalam kontroversi Pulau Pinang. Tetapi mencadangkan Sanusi, Menteri Besar Kedah melakukan jenayah kerana memberikan pandangannya tentang sejarah pulau itu adalah keterlaluan.

“Daripada segi sejarah, Sultan Kedah berkenan supaya Syarikat Hindia Timur Inggeris mengambil alih pulau itu dengan bayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun. Kemudian jalur daratan bertentangan telah ditambah untuk 4,000 dolar Sepanyol setahun.

“Selain itu perjanjian tersebut memerlukan syarikat British membantu dalam pertahanan Kedah sekiranya diserang oleh negara asing. Kita tahu bahawa British gagal untuk menghormati kata-kata mereka,” ujar beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Bukan cuma itu, Dr Mahathir juga memberitahu ketika menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 beliau telah meminta Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng untuk memberi bayaran sebanyak RM10,000 setahun.

“Saya tidak akan berkata apa-apa tentang apa yang berlaku kepada dua wilayah Tanah Melayu ini kecuali mengakui bahawa saya memujuk Guan Eng sebagai Menteri Kewangan untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun. Saya tidak meminta sesiapa untuk mempercayai saya.

“Perjanjian berkenaan penyerahan Singapura adalah berbeza. Ia jelas merupakan jualan secara terus. British membuat bayaran sekali sahaja sebanyak 60,000 dolar Sepanyol kepada Temenggong.

“Perlu diingat bahawa Sultan Ali, sultan pada masa itu tidak menandatangani. Beliau dianugerahkan sebuah rumah di Kampung Gelam di Singapura. Kemurahan hati ini tidak disertai dengan pengiktirafan British terhadap Ali sebagai sultan.

“Perbezaan antara perjanjian Pulau Pinang dan perjanjian Singapura adalah jelas,” kata Mahathir.

Untuk pada 8 Ogos 2018, sidang Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi bayaran sumbangan khas kepada Kedah pada kadar RM10 juta setahun mulai tahun berkenaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu berkata keputusan itu diambil susulan daripada hasrat disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mempengerusikan Majlis Kewangan Negara untuk 2018 pada 7 Jun, supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pemberian khas bernilai RM10,000 setahun sebagai nilai pajakan tanah Pulau Pinang.

Guan Eng berkata pada masa sama, bayaran khas RM10,000 setiap tahun kepada Kerajaan Negeri Kedah akan tetap diteruskan.

Polis Pulau Pinang sebelum ini mengesahkan telah menerima empat laporan berkaitan Sanusi berhubung dakwaannya bahawa negeri tersebut milik Kedah.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kes tersebut kini sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Adalah disahkan empat laporan polis telah diterima berkaitan Muhammad Sanusi berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 oleh USJT Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 29 Mei lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP, Guan Eng menggesa seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang bangkit menyatakan bantahan terhadap Sanusi berhubung kenyataannya itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat