Akur arahan ‘lockdown’, penggiat industri kreatif tunggu situasi pulih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sokongan industri kreatif terhadap penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara sehingga 14 Jun ini disifatkan tindakan matang dalam mengawal penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata pemerhatian menunjukkan penggiat seni memainkan peranan masing-masing dan bertawakal biarpun berdepan detik sukar sejak COVID-19 menular.

“Kita nampak kematangan penggiat seni… Soal nyawa memang tiada ganti.

“Insya-Allah, selepas ini, jika tiada lagi ‘total lockdown’, penggiat seni boleh kembali mengimbangkan kedudukan terutama dalam aspek ekonomi.

Ahmad Idham melihat sokongan penggiat industri kreatif terhadap arahan ‘total lockdown’ sebagai bukti kematangan anak seni berdepan tempoh sukar. Foto Ihsan FINAS
Ahmad Idham melihat sokongan penggiat industri kreatif terhadap arahan ‘total lockdown’ sebagai bukti kematangan anak seni berdepan tempoh sukar. Foto Ihsan FINAS

 

“FINAS selama ini sudah berusaha sehabis baik untuk menjaga kebajikan penggiat seni melalui pelbagai usaha termasuk agihan dana,” katanya kepada BH Online.

Sejak tahun lalu, industri kreatif yang menjadi antara penyumbang pendapatan negara, terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Terbaharu, berikutan arahan ‘total lockdown’, ada syarikat produksi terpaksa menghentikan penggambaran drama yang sedang disiarkan stesen televisyen (TV) hingga tayangan ‘tergantung’.

Ini berlaku kepada drama bersiri, Kekasih Hati Mr Bodyguard arahan Nizam Zakaria yang dihentikan tayangan di slot Lestary TV3, Khamis lalu, berikutan baki penggambaran tidak sempat disiapkan.

Ahmad Idham berkata, inisiatif seperti Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri (PELAKSANA) dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) menjadi antara kemudahan ditawarkan kepada penggiat seni untuk memulihkan operasi pada era pandemik COVID-19.

Beliau berkata, umum menyedari sektor industri kreatif bukan dianggap keperluan dalam tempoh ‘total lockdown’ dan keputusan menghentikan aktiviti dianggap paling tepat.

“FINAS menyokong penuh keputusan kerajaan melakukan ‘total lockdown’… Ini adalah suatu usaha kolektif kerajaan.

“Industri kreatif saya lihat menyokong keputusan itu untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19 yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini,” katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS melihat ramai penggiat seni sepakat melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat.

“Jika ada masalah seperti syarikat produksi ‘tersangkut’ dalam soal agihan bantuan dan dana, FINAS sedia menjadi pemudah cara,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dilaporkan menyokong penuh keputusan kerajaan melakukan ‘total lockdown’ di seluruh negara.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat