Penghormatan Terakhir Buat Jenazah Bonda Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Kerabat diraja dan orang ramai di sini mula memasuki pekarangan Istana Besar, Johor Bahru seawal pukul 8 pagi ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) malam tadi dari London pada pukul 11 malam dengan menaiki pesawat peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Ketibaan jenazah disambut Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerabat damping, Jumaah Majlis Diraja Johor, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian serta barisan Exco kerajaan negeri.

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom dilaporkan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah hari ini.

Almarhumah Hajah Khalsom ,83, atau nama asalnya, Josephine Ruby Trevorrow dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England.

Almarhumah yang mangkat pada 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, 1 Jun lepas dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hasil perkahwinan bersama Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.