Jenazah Bonda Sultan Johor Selamat Dimakamkan

JOHOR BAHRU – Jenazah bonda Sultan Johor, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah selamat dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini, kira-kira 11.20 pagi tadi.

Jenazah Almarhumah Hajah Khalsom yang tiba ke Makam Diraja menaiki Pedati Diraja diiringi seramai 40 Askar Timbalan Setia dari Istana Besar di sepanjang kira-kira 2.8 kilometer.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut berangkat mengiringi jenazah bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Turut berangkat, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Selain itu, berangkat sama Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama isteri, Che’ Puan Khaleda Bustamam; Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Bacaan talkin dan tahlil diketuai Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Jenazah Almarhumah dimakamkan sebaris dengan makam cucunda baginda, Allahyarham Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil yang mangkat akibat kanser hati pada 5 Disember 2015.

Almarhumah yang berusia 83, atau nama asalnya, Josephine Ruby Trevorrow yang dilahirkan pada 2 Disember 1935 di Cornwall, England mangkat pada jam 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, Jumaat lalu.

Almarhumah dikurniakan tiga puteri serta seorang putera iaitu Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Besar Zabedah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.