Video : Bekas Ahli PPBM Rembau Saman Muhyiddin RM10 Juta

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Aktivis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin hari ini memfailkan saman sebanyak RM10 juta terhadap presiden parti berkenaan, Tan Sri Muhyuddin Yassin yang didakwa memfitnahnya.

Mohd. Anas yang sebelum ini mengetuai 500 ahli PPBM Rembau keluar parti pada awal bulan April lalu berkata, akibat fitnah tersebut, beliau telah diaibkan hinggakan ada yang menggelarnya sebagai tupai dan lalang.

“Saya amat terkesan dengan tuduhan yang Muhyiddin sebagai bekas TPM memfitnah saya serta mengaibkan keluarga saya. Saya bekas pemimpin UMNO dan pemimpin NGO perkasa.

“Saya tidak  pernah jadi ahli PKR dan tidak pernah menyertai parti pembangkang lain termasuk DAP, AMANAH (Parti Amanah Negara ) dan PAS,  cuma saya berkawan dengan mereka sahaja,” katanya pada sidang media selepas mengemukakan tuntutan saman di mahkamah di Jalan Duta, di sini, hari ini.

Mohd. Anas turut meluahkan kekecewaan kerana perjalanan politik bersama UMNO selama 30 tahun telah dikorbankan untuk menyertai PPBM.

Beliau turut menyifatkan Muhyiddin tidak mempunyai aura sebagai seorang presiden dan tidak layak untuk memegang jawatan tersebut kerana tidak mendapat kepercayaan ahli yang lain.

“Sekarang ni kita keliru. Hari tu heboh nak jadi Perdana Menteri sekarang ni Mahathir pula, mana satu?,” soalnya.

Dalam pada itu, peguamnya, Hazwan Mohd Nor berkata, seperti yang dijanjikan tempoh hari pihaknya telah memfailkan saman terhadap Muhyiddin.

“Kita dah failkan saman terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin diatas fitnah sepertimana yang diarahkan anak guam saya yang menuntut supaya Muhyiddin memohon maaf atas kenyataan fitnah yang dibuat oleh beliau pada 6 April 2017 di lobi parlimen yang mana kenyataan tersebut (Mohd. Anas ahli PKR bukan Umno) adalah satu kenyataan yang tidak benar kenyataan tersebut telah menjejaskan dan menyebabkan anak guam saya terkesan dengan teruk.

“Jadi pada hari ini kita telah failkan tuntutan kepada Muhyiddin dan Mohd. Anas menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta,” katanya.   SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.