Salman Khan Tolak Anugerah

Bergelar antara bintang paling popular di Bollywood, Salman Khan mengakui beliau bukan seorang pelakon yang bekerja keras semata-mata untuk memenangi anugerah dalam industri.

Sewaktu menghadiri sidang media Festival Filem Antarabangsa India (IIFA) di Mumbai baru-baru ini, hero filem Sultan itu berkata, beliau gembira andai diberi penghargaan. Namun, sebuah trofi anugerah bukan satu kepentingan buatnya.

Bagi pencalonan IIFA tahun ini yang bakal berlangsung dari 13 hingga 15 Julai depan di New York, Salman tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Beliau bakal bersaing dengan nama-nama besar seperti Shah Rukh Khan, Amitabh Bachchan, Shahid Kapoor dan Sushant Singh Rajput.

“Pemenang kategori itu pastinya bukan saya kerana anugerah bukan sesuatu yang saya kejarkan dalam karier. Saya gembira selagi peminat gembira dan masih mahu melihat saya berlakon.

“Saya bangga jika IIFA atau peminat memberi penghargaan kepada saya secara peribadi tetapi bukan dengan bertanding sesama pelakon lain. Itu bukan sikap saya,” katanya lagi.

Tambah lelaki berusia 51 tahun itu lagi, pertambahan umur semakin lama semakin memberi kesan kepadanya untuk terus bersaing dengan aktor-aktor muda dalam industri.

Setakat ini, beliau hanya bertahan demi peminat walaupun ada masanya berdepan kesukaran untuk kekal dengan penampilan yang tampak muda dan gagah seperti pada zaman kegemilangannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.