Red Warriors Dapat Sinar Baharu

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menemui sinar baharu bagi menyelesaikan kemelut berhubung pendaftaran pemain baharu serta rayuan mengenai pemotongan mata selepas bermesyuarat dengan pengelola Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) semalam.

Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah menjelaskan, hasil daripada keputusan tersebut pihaknya akan membuat tindakan susulan bagi membolehkan mereka mendaftarkan pemain import baharu, L’Imam Seydi bagi menggantikan Alessandro Celin pada jendela kedua perpindahan pemain yang berakhir 12 Jun ini.

“Pihak FMLLP mahukan beberapa dokumen dari segi konteks pendaftaran pasukan pada musim ini dan kami telah diberi tempoh sehingga 12 Jun ini. Sekretariat KAFA akan berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.

“Harapan kami adalah untuk mendaftarkan pemain import baharu (Seydi) tetapi segalanya bergantung pada kelancaran proses pengesahan dokumen tersebut nanti,” katanya, lapor Kosmo.

Sebagai rekod, Kelantan merupakan antara pasukan paling kontroversi musim ini selepas beberapa bekas pemain dan jurulatih masih menuntut tunggakan gaji yang belum diterima sejak beberapa musim lepas.

Susulan itu, skuad The Red Warriors (TRW) telah dihukum pemotongan enam mata daripada kancah Liga Super oleh FMLLP yang berkuat kuasa serta-merta bulan lalu.

Sehubungan itu, tambah malang, Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah mengarahkan Kelantan untuk melangsaikan tunggakan gaji tiga pemainnya dengan nilai keseluruhan hampir RM190,000 dalam tempoh 14 hari pada minggu lalu.

Afandi turut mengesahkan pihaknya akan mengemukakan ra­yuan bagi mengurangkan hukuman pemotongan mata tetapi bergantung pada persiapan dokumen tersebut.

“Sudah tentu menjadi sebahagian daripada perkara yang kami perlu fikirkan. Namun, sekarang kami mahu memberi tumpuan kepada proses pendaftaran pasukan terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Ke­tua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam mengakui pihaknya tidak pernah menuduh KAFA me­ngenai masalah pembayaran gaji kerana apa yang ditekankan adalah dokumen pendaftaran.

“Ini adalah satu perbincangan yang bernas bersama KAFA. Saya harap tiada isu yang timbul selepas mereka mengemukakan segala dokumen yang perlu diserahkan sebelum jendela pendaftaran ditutup.

“Mengenai tunggakan, kami akan pertimbangkan selepas menerima dokumen tersebut kerana mahu melihat adakah masalah itu sudah dijelaskan. Apa yang penting, KAFA perlu mengesahkan bahawa pembayaran mereka adalah terkini.

“Perihal pemotongan mata, ia tertakluk pada keputusan lembaga pengarah (FMLLP). Kita perlu menerima borang rayuan rasmi daripada KAFA sebelum membuat keputusan lanjut,” jelas Kevin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.