PAS Jangan Sibuk Urusan Calon PM Dari PH, Kata Pemimpin PAN

SHAH ALAM – PAS sebagai ‘orang luar’ tidak perlu masuk campur dalam urusan Pakatan Harapan (PH), tegas Amanah.

Itu respon Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir terhadap saranan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pemimpin dan ahli PAS agar tidak terjebak dengan budaya menamakan calon perdana menteri pembangkang.

“Tak boleh nak faham apakah maksud dan mesej yang cuba beliau (Hadi) sampaikan. Sebab beliau berada di luar PH. Beliau tidak terlibat dengan gerakan pembangkang yang (kerana PAS) bersendirian.

“Barangkali betul ucapannya itu, sebuah parti yang bersendirian maka tak perlu berfikir tentang siapa PM yang akan datang kerana mereka tidak terlibat.

“Barangkali mereka ingin mengekalkan (Datuk Seri) Najib (Razak) sebagai PM selanjutnya. Jadi beliau mengarahkan orang-orangnya supaya tidak fikir soal PM,” katanya sinis terhadap kenyataan Hadi.

Semalam Hadi mengingatkan partinya untuk tidak terikut-ikut dengan budaya politik parti lain yang sedang bertelagah untuk menamakan calon perdana menteri pembangkang.

Ia berikutan pembangkang belum pasti lagi akan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Malah Hadi juga menegaskan bahawa PAS tidak akan sesekali mengemis dan meminta jawatan perdana menteri kerana amalan tersebut jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Anuar kemudiannya berkata Hadi tidak perlu bersusah payah untuk mengambil berat apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan.

“Beliau sebagai orang luar yang cuba memberi komen dalam apa yang berlaku di dalam rumah tangga orang lain,” kata Anuar.

“Ini bukan soal mengemis, tiada sesiapa yang mengemis sesuatu jawatan. Dalam sistem demokrasi, apabila mana-mana pihak mendapat sokongan yang paling banyak di dalam parlimen, maka orang itulah yang akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan,” ujarnya.

Pakatan Harapan (PH) sehingga kini bertelagah soal siapakah yang paling layak menjadi perdana menteri jika gagasan itu berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.

PKR sebelum ini sepakat menamakan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ‘pemanas kerusi’.

Anwar pada semalam berkata Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menjadi calon perdana menteri jika dipersetuju gagasan PH, selepas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyatakan kesediaanya menjadi perdana menteri jika ada permintaan daripada rakan-rakan pembangkang. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.