Ideologi ‘Syaitan’

LONDON – Perdana Menteri Britain, Theresa May menyatakan ideologi ‘syaitan’ militan Daesh sebagai punca serangan tiga lelaki bersenjatakan pisau di London yang mengorbankan tujuh orang.

Menurut AFP, Ketua Antikeganasan Britain, Mark Rowley pula berkata, polis sehingga kini menahan 12 suspek bagi membantu siasatan berhubung sera­ngan berkenaan.

Amukan pada malam Sabtu di sekitar Jambatan London oleh tiga lelaki yang memakai jaket bom palsu merupakan serangan pengganas ketiga di Britain dalam tempoh kurang tiga bulan dan berlaku beberapa hari sebelum pilihan raya diadakan.

Kempen di peringkat kebangsaan bagi pilihan raya umum pada Khamis ini ditangguh selama sehari bagi menghormati mangsa yang terkorban termasuk 48 orang yang cedera dan dirawat di hospital.

Rowley berkata, siasatan masih dijalankan sama ada penyerang bertindak sendiri atau mempunyai rangkaian sebagai dalang.

Tambahnya, serbuan polis di beberapa lokasi yang didiami pelbagai etnik di Barking, pinggir London beberapa jam selepas serangan telah menahan tujuh wanita dan lima lelaki berusia antara 19 hingga 60 tahun. Bagaimanapun, seorang lelaki berusia 55 tahun kemudian dibebaskan.

Portal Sky News melaporkan bahawa kediaman yang diserbu pihak polis dimiliki oleh salah seorang penyerang berkenaan.

Dalam pada itu, May berkata, serangan itu didorong oleh ideologi pelampau yang sama seperti pengebom bunuh diri di Manchester yang mengorbankan 22 orang dan serangan di Westminster pada 22 Mac lalu yang membunuh lima orang.

“Serangan baru-baru ini tidak berkaitan, tetapi kami percaya kita sedang berhadapan dengan trend baharu dalam ancaman keganasan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar jawatankuasa Cobra.

Sehubungan itu, May memberi amaran bahawa penjenayah mendapat ilham untuk melakukan serangan dengan meniru orang lain.

“Perkara sedemikian tidak boleh dibiarkan terus berlaku. Kita sudah terlalu bertoleransi dengan ekstremisme di negara ini,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.