Hizbut Tahrir Gagal Cabar Keputusan KDN Di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Pertubuhan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu, dua tahun lalu.

Datin Azizah Nawawi dalam penghakimannya berkata bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri adalah munasabah dan sah di sisi undang-undang.

“Pendaftar zpertubuhan (ROS) menolak pendaftaran HTM selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengharamkan sebarang organisasi dan ajaran HTM,” katanya.

Semua pemohon diperintah membayar kos sebanyak RM10,000 kepada KDN. Peguam Dennis Pereira mewakili presiden pertubuhan itu, Abdul Hakim@Ramizu Othman; Timbalan Presiden HTM, Sopian Jahir dan tiga anggota pertubuhan itu, Wan Noorul Hisham Wan Salleh, Hishamudin Ibrahim dan Sharifudin Md Zain yang dinamakan sebagai pemohon.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifa Ayob mewakili KDN.

Semua pemohon memfailkan permohonan itu pada 9 Ogos 2016 bagi memohon deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu adalah satu keputusan yang ultra vires dan melanggar Perkara 10 dan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon deklarasi bahawa keputusan yang dibuat oleh Menteri itu pada 31 Mei 2016 adalah tidak munasabah kerana gagal memberi pertimbangan wajar terhadap rayuan pendaftaran bagi organisasi pertubuhan berkenaan selain menuntut deklarasi bahawa keputusan itu adalah tidak sah serta tidak mematuhi prosedur.

Mereka turut memohon perintah supaya keputusan Menteri itu yang menolak rayuan pendaftaran pertubuhan itu di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 dibatalkan dengan serta-merta. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.