Hina Watson, Pengacara Komedi Ke Mahkamah

SIBU ― Bekas pengacara dan penerbit sebuah program komedi TV3 didakwa menghina pelari pecut negara Watson Nyambek.

Azizul Ammar Abu Hassan dan Abdul Ghani Mohd Mokhtar dituduh mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan sengaja, lapor Star Online.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 11.30 malam pada 22 April lalu di Hotel Medan di sini.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Pada 24 April lalu, Watson membuat aduan polis berhubung jenaka di stesen televisyen itu yang didakwanya mempersenda bapanya dengan bunyi haiwan.

Beliau mahu tindakan terhadap pengacara program “Sukan Tak Sentral” yang diterbitkan Primeworks Studios.

Di mahkamah tadi, Majistret Saiful Sayoti membebaskan Azizul Ammar dan Abdul Ghani dengan jaminan RM3,500 tiap seorang dengan seorang penjamin.

Kedua-duanya diarah hadir ke mahkamah pada 4 Julai depan.

Susulan kontroversi itu, syarikat penerbit, Azizul Ammar dan seorang lagi pengacara Marsha Milan Londoh memohon maaf secara terbuka kepada Watson.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.