Fahrin Dalami Hidup Wanita

Teruja mengacarakan program bual bicara Wanita Hari Ini (WHI), pelakon Fahrin Ahmad tidak sabar menantikan maklum balas penonton terhadap skop barunya itu.

Menambahkan lagi profil sebagai pengacara yang versatil, Fahrin mengakui meskipun berasa pelik ia satu cabaran baru buatnya.

Bertemu bapa kepada seorang anak itu, Fahrin berkata, dia tertarik menerima tawaran mengacara program berkenaan kerana pengisiannya yang menarik mengenai wanita.

“Sebagai lelaki pastinya ia cabaran untuk saya kerana perlu lebih banyak mengkaji dan mendalami kehidupan wanita.

“Disebabkan sedang melalui fasa ini, saya akan mendapatkan maklumat di Internet serta bertanya isteri apa-apa perkara yang kurang difahami,” katanya.

Mula bertugas 5 Jun (semalam), Fahrin adalah lelaki kedua selepas Nazril Idrus yang pernah mengelolakan segmen kewangan sedikit masa lalu.

“Sebelum ini pernah ada pengacara lelaki tetapi hanya fokus pada satu segmen saja. Saya akan bergandingan dengan pengacara wanita laIn mengupas isu-isu yang dibahaskan.

“Saya anggap ini sebagai pengalaman baru dan unik. Apatah lagi program ini bersiaran secara langsung dan pastinya ia cabaran besar buat saya,” katanya.

Untuk Ramadan ini, program WHI bersiaran pada jam 11 pagi berbanding waktu biasa pada jam 12 tengah hari.

Sementara itu, Fahrin yang semakin aktif mengacara mengakui semakin kurang berlakon.

Bukan kerana tiada tawaran tetapi dia lebih selesa mengacara.

“Saya semakin sibuk mengacara. Kalau ada pun berlakon, ia kerana mahu memenuhi permintaan perminat yang rindu melihat kemunculan saya dalam drama.

“Jika ada masa saya akan berlakon bagi mengubat rindu mereka yang bertanya,” katanya.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.