Chong Wei Lupakan Sukan SEA, Fokus Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR – Jaguh badminton perseorangan dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak akan beraksi pada Sukan SEA 2017 selepas kudratnya ditagih pada Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria mengesahkan perkembangan itu di sini.

Katanya, kejohanan itu perlu diletakkan sebagai keutamaan buat pemain berusia 34 tahun itu yang masih memburu gelaran sulungnya di pentas utama dunia itu.

“Chong Wei sah akan ke Glasgow, kerana itu keutamaan kita buat masa ini. Jadi, kita harus menyandarkan harapan kepada pemain lain seperti Iskandar Zulkarnain (Zainuddin),” katanya, lapor BH.

Dengan ketiadaan Chong Wei bermakna tumpuan untuk memenangi emas dalam acara badminton Sukan SEA akan lebih terarah kepada pasangan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Norza tampak akur dengan situasi itu apabila turut menyokong pendapat itu.

“Kita perlu melihat kepada bahagian lain dengan perseorangan wanita kita mempunyai peluang kerana pemain utama Thailand (Ratchanok Intanon) juga memilih ke saingan dunia.

“Beregu wanita juga tampak mempunyai peluang, cuma lebih baik kita menunggu selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) pada Khamis ini untuk memutuskan sasaran sebenar kami pada Sukan SEA,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.