‘Ayam Pasu Utara’ Laris Dijual 100 Ekor Setiap Hari

Kubang Pasu – Seorang peniaga tidak menyangka percubaan pertamanya berniaga ayam yang dibakar menggunakan pasu dengan nama Ayam Pasu Utara di Tunjang mendapat sambutan baik daripada pembeli sepanjang Ramadan ini.

Bekas pelajar Madrasah Mahazirul Ulum Bukit Choras, Muammar Ghadafi Salimat, 24, berkata, dia mampu menjual 100 ayam bakar setiap hari selepas mendapat idea melihat perniagaan sama di Yan sebelum ini.

“Pada hari pertama berniaga, saya menjual 35 ayam pada harga RM22 hingga RM24 seekor mengikut saiz.

“Hari seterusnya, saya memberanikan diri dengan cuba menjual 100 ekor dan ternyata berbaloi kerana kesemua ayam habis dijual menjelang jam 6.30 petang,” katanya.

Menurutnya, ayam bakar menggunakan pasu berbeza dengan kaedah ayam golek atau ayam salai kerana isinya lebih lembut manakala aromanya juga lebih harum.

“Ayam diperap dengan ramuan istimewa oleh isteri, Siti Syafiqah Hamid, 30, yang diwarisi daripada keluarga dan apabila menggunakan pasu, proses memasak lebih sekata dan perapan meresap ke dalam daging.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan, saya mengupah tiga penduduk kampung bagi membersihkan ayam dengan dua orang membantu di gerai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.