Video: Mat Sabu Sindir Ulama, Umum Letak Jawatan

Kuala Selangor – Tokoh PAS Mohamad Sabu sebentar tadi mengumumkan peletakan jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai menghormati usul Dewan Ulama mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Beliau juga terkilan kerana dipaksa “keluar rumah” setelah “disimbah asid” oleh perwakilan PAS pada pemilihan parti kali ini.

 

 

“Kami telah berada dalam rumah ini, di atas pentas (PAS) saya lebih 20 tahun, ertinya dah jadi macam rumah. Tuan baru datang nak duduk, kami kena tinggalkan rumah itu,” katanya.

 

“Selalunya orang nak tinggal rumah berilah bekalan makanan, air supaya mereka berpindah dalam keadaan selamat. Jangan curahkan asid kepada mereka yang pergi. Bagaimanapun kita bersikap terbuka,” kata beliau.

 

Apa pun, Mat Sabu berkata beliau akan melepaskan semua jawatan yang dipegangnya dengan mandat kerajaan negeri Pulau Pinang susulan usul Dewan Ulama itu.

 

“Oleh itu (untuk) memenuhi hasrat usul itu, saya memulakan terhadap diri saya. Minggu ini saya akan letak jawatan di Pulau Pinang sebagai ahli lembaga pengarah air dan lembaga halal hub Pulau Pinang,” kata beliau dalam ucapan penggulungan di Muktamar PAS ke 61 di sini.

 

“(Tindakan saya) sebab saya patuh resolusi ulama, kalau tak patuh kata saya lawan ulama. Maka saya mulakan dalam diri saya, diikuti rakan-rakan lain di Pulau Pinang dan Selangor. Jangan bimbang kita akan kuat bila berseorangan,” kata beliau dalam nada sindir.

 

Mat Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden parti apabila kalah teruk kepada Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

Beberapa tokoh yang dikaitkan dalam kem professional seperti Husam Musa, Sallehuddin Ayob, Hatta Ramli dan Hanipa Maidin juga tewas kepada gelombang ulama pada pemlihan kali ini.

 

Dewan Ulama PAS kelmarin meluluskan usul mahukan parti itu memutuskan hubungan dengan DAP setelah parti itu kerap menyerang presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Pimpinan PAS hari ini memutuskan usul itu diluluskan tanpa perbahasan, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan perwakilan yang mahu ia dibahaskan.

 

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut menggesa ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan partinya untuk meletak jawatan ekoran usul itu.

 

Bagaimanapun usul itu memerlukan pengesahan muktamar Majlis Syura sebelum ia boleh dilaksanakan.

 

Dalam ucapannya itu, Mat Sabu membayangkan usul berkenaan akan memaksa PAS bersendirian menghadapi pilihan raya umum ke-14.

 

“Bila kita tidak mahu cakap soal perundingan dan bertolak ansur maka akhirnya kita bimbang kita tinggal keseorangan,” kata beliau.

 

Mat Sabu berkata beliau tidak mengenepikan keperluan untuk memperolehi keredaan Allah dalam perjuangan politik namun membayangkan PAS akan tersungkur dalam perjuangannya jika berseorangan menghadapi kerajaan Umno-BN.

 

Dalam nada menyindir berkata, PAS akan bertambah “kuat” dengan “berseorangan” dalam perjuangannya.

 

“Memang kita nak menang nak keredhaan Allah. Kita tak mahu menang tanpa keredhaan Allah dan kita juga mencari redha dan kemenangan. Ini yang diwirid oleh kita,” kata beliau.

 

Mat Sabu berkata dengan pemisahan DAP dan PAS di Sarawak menjadikan parti lebih kuat.

 

“Buat apa nak berunding lagi (dengan parti komponen PR). Sekarang kita bersendiri, (boleh) tanding semua di Sarawak sebab kita kuat,” kata beliau.

 

“Berapa DUN di Sarawak kita boleh tanding bila berseorangan. inilah bila kita bersama, kita kena ada perundingan, bila seornag tak payah berunding. Kita kuat kan?,” tanya beliau kepada perwakilan.

 

Pada pilihan raya negeri lalu di Sarawak, PAS tewas di semua kerusi yang di tandinginya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.