Rakyat Harus Pertahan Kestabilan, Perpaduan Negara – Agong

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu terus mempertahankan kestabilan dan perpaduan negara bagi memastikan Malaysia akan terus mengecapi kemajuan dan kemakmuran secara berterusan, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

“Beta berasa amat prihatin dengan pelbagai cabaran dan beberapa isu yang sedang kita hadapi pada ketika ini.

 

“Antaranya, ada bibit-bibit perpecahan yang diapi-apikan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab,” titah Tuanku Abdul Halim dalam ucapan sempena sambutan Hari Keputeraan rasmi baginda yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

 

Baginda bertitah bukan mudah untuk membina kesatuan dalam kalangan pelbagai kaum di negara ini, namun jika tidak dijaga semua perkara mungkin hilang dalam sekelip mata.

 

Malaysia, titah baginda juga harus mengambil iktibar daripada kekacauan serta kemelut yang berlaku di beberapa negara di dunia sama ada dari sudut politik, persengketaan antara kaum mahupun pelbagai gejala negatif yang boleh memporak-perandakan keadaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.