Video: Perwakilan PAS Marah Usul Putus Hubungan Dengan DAP

Kuala Selangor – Sesi perbahasan usul Muktamar Tahunan PAS ke-61 pagi ini kecoh apabila dua perwakilan daripada PAS kawasan Kota Raja dan Rembau mempersoalkan tindakan PAS Pusat meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa penglibatan perwakilan yang hadir.

 

Kedua-dua perwakilan itu berkata tindakan PAS Pusat itu tidak bertanggungjawab kerana enggan mengakui kepentingan buah fikiran dan pandangan perwakilan sebelum meluluskan usul itu.

 

 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar terdahulu memberi taklimat bahawa pimpinan tertinggi PAS Pusat malam tadi berbincang dan meluluskan usul tersebut dan tidak membahaskannya ekoran ia adalah ‘isu sensitif’.

 

Penerangan Mahfuz itu mengundang rasa tidak puas hati perwakilan Rembau, yang bangun mempersoalkan kenapa usul serius seperti itu tidak dibahas bersama perwakilan yang lain.

 

“Keputusan muktamar perlu dibawa ke dalam Dewan Muktamar untuk dibahas, sama ada hendak kekal dalam pakatan atau pun tidak. Janganlah kita bercerai tetapi tidur serumah, kita masih tidak mahu berkawan dengan DAP tetapi masih bersama dengan Pakatan Rakyat. Ini satu pakatan rakyat yang tempang!

 

“Saya minta penjelasan sekarang kerana tadi Mahfuz kata ini usul yang sensitif, kalau hendak putus dengan DAP biarlah perwakilan bahaskannya. Kita dalam muktamar sekarang, jadi saya minta penjelasan apa yang dimaksudkan dengan isu sensitif itu?,” tegas perwakilan Rembau yang kemudiannya disokong dengan sorakan perwakilan lain didalam dewan.

 

Mahfuz cuba meredakan keadaan dan menjelaskan ahli akar umbi harus yakin dengan ketetapan yang diambil kepimpinan tertinggi dan yakin serta redha dengan petunjuk daripada Allah SWT.

 

“Ada usul sensitif diterima tanpa dibahaskan yang saya terima, iaitu usul yang diterima daripada PAS Pusat dan Kawasan Tumpat iaitu usul yang perkukuhkan Pakatan Rakyat tanpa DAP.

 

“Iaitu memutuskan hubungan dengan DAP dan usul ini saya tidak buat keputusan berseorangan dan jawatankuasa usul kerana usul ini sangat sensitif dan usul ini saya bawa kepada PAS Pusat dan kepada Mursyidul Am dan Presiden, dan usul ini diterima tanpa dibahaskan.

 

“Iaitu kekal dalam pakatan rakyat dan dalam masa yang sama memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

 

Usul tahalul siyasi itu diluluskan memandangkan DAP tidak lagi menghormati prinsip, polisi dan dasar PAS yang menjadikan Islam sebagai teras dalam perjuangannya.

 

Namun penjelasan lemah daripada Mahfuz itu dipatahkan perwakilan PAS kawan Kota Raja yang hanya mahu dikenali sebagai Halim.

 

Beliau berkata kepimpinan tertinggi tidak boleh membuat keputusan tanpa melibatkan perwakilan yang hadir.

 

Ujarnya, perwakilanlah yang akan balik ke kawasan masing-masing dan berdepan dengan ahli PAS yang menyoal 1001 persoalan kepada mereka.

 

Beliau juga menolak jawapan Mahfuz bahawa isu usul itu adalah sensitif dan tidak boleh dibahas secara terbuka dalam muktamar.

 

“Bercerai itu senang tetapi fikirkanlah akibat selepas bercerai, perkara ini tidak boleh bincang dalam 10 minit dan yang membuat keputusan hanya dua atau tiga orang.

 

“Kita muktamar, kita ada hak kerana ini keputusan muktamar dan selalunya kita kata, apa pun perlu dibincang dalam muktamar, bukannya melalui whatsapp, Facebook tetapi di sini, saya bersetuju untuk usul itu dibawa dan dibincang dalam muktamar PAS, itu saya setuju tetapi untuk memutuskan sekarang tidak,” tegasnya.

 

Perwakilan yang berada dalam dewan kemudiannya menyorak tanda menyokong hujah Halim.

 

“Bukan mudah…siapa duduk di negeri Selangor tahulah, bukan mudah…tuan puan yang duduk di Selangor tahulah bertapa pentingnya tahalul siyasi ini…penting tuan puan…

 

“Kita duduk di Selangor dapat mengimarahkan masjid, orang ramai penuh datang…kerana kemenangan… jangan ambil mudah… pemimpin jangan ambil mudah…wahai ulama-ulamaku ingat..memang Allah redha tetapi Allah redha dengan akal yang cerdik, berfikiran waras…terima kasih,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.