Najib Komited Untuk Berdialog Dengan NGO

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau sentiasa bersedia dan komited untuk berjumpa atau berdialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu negara mahu pun masyarakat.

 

Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan, perjumpaan serta sesi dialog yang hendak dilakukan mestilah berjalan dalam suasana tenang dan baik agar perbincangan tersebut membawa faedah kepada semua pihak.

 

“Jika kita ikhlas dan bersikap terbuka, perbincangan dan dialog boleh membawa kebaikan bersama,” katanya menerusi blog najibrazak.com selepas beliau dinasihatkan oleh polis supaya tidak hadir pada program dialog Perdana Menteri bersama NGO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

 

Nasihat itu dibuat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar atas faktor keselamatan selepas program dialog yang sepatutnya memberi ruang kepada Perdana Menteri untuk menjawab segala isu semasa termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Bagaimanapun program yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bertukar menjadi kecoh sehingga ada individu ditangkap pihak berkuasa sebelum pengumuman pembatalan dibuat pada pukul 10.30 pagi.

 

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan memaklumkan Najib tidak hadir ke program tersebut selepas akur dengan nasihat Khalid setelah pihak berkuasa mengambil kira faktor keselamatan.

 

Kenyataan sama menjelaskan, Pejabat Perdana Menteri diberitahu oleh pihak penganjur, Sukarelawan Peguam (Sukaguam) bahawa majlis bertemakan ‘Nothing To Hide’ tersebut terpaksa dibatalkan selepas mendapat arahan Khalid.

 

“Hal demikian disebabkan pertimbangan isu keselamatan di lokasi. Berikutan arahan dan nasihat Ketua Polis Negara, Perdana Menteri tidak dapat menghadiri program ini,” jelas Pejabat Perdana Menteri menerusi laman Facebook sebagaimana dipetik. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.