Mereka Mahu Lihat Mahathir Hentam Najib – Speaker DUN Sabah

Kuala Lumpur – Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, dialog yang dirancang tetapi akhirnya dibatalkan pada Jumaat, antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menampilkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ialah idea yang kurang bijak.

 

Menulis dalam blognya, bekas ketua menteri Sabah itu berkata tiada siapapun berminat mengenai apa yang Perdana Menteri hendak katakan.

 

Salleh berkata, beliau sebenarnya lega acara itu dibatalkan.

 

“Saya sebenarnya berasa amat lega apabila dialog tersebut dibatalkan. Pertama sekali, saya tidak melihat sebarang penyelesaian boleh dicapai. Tiada pemenang dan yang kalah dalam hal seperti ini. Saya masih ingat ketika perdebatan di antara Pemuda UMNO dan Pemuda PKR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah bertukar kepada perlawanan mengejek antara kedua-dua pihak.

 

“Semua yang berlaku adalah untuk merendahkan maruah pendebat dalam kalangan orang ramai yang hanya berminat untuk melihat pergaduhan dan tidak berminat kepada fakta yang diperdebatkan. Ini adalah apa yang akan berlaku pada hari ini,” kata Salleh dalam blog beliau, http://sskeruak.blogspot.com hari ini.

 

Salleh turut berpendapat, tiada siapa yang akan berminat dengan apa yang Perdana Menteri ingin perkatakan.

 

“Apa yang mereka mahu lihat adalah untuk Dr. Mahathir menghentam Najib di khalayak ramai. Hakikatnya itu me­rupakan tujuan asal Dr. Mahathir hadir ke program berkenaan. Dr. Mahathir tidak peduli apa yang ingin Najib perkatakan, beliau telah memutuskan tidak akan menerima penjelasan Najib,” katanya.

 

Menurut Salleh, dengan hanya jeritan dan ejekan tidak akan menjatuhkan Perdana Menteri.

 

“Ini merupakan idea yang sa­ngat baik apabila Najib tidak hadir ke program tersebut,” katanya.

 

“Saya khuatir dan takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya beliau hadir dan keadaan akan bertukar di luar kawalan dan lebih buruk lagi. Tidak mustahil keadaan tersebut akan bertukar kelam-kabut dan wujud pergaduhan,” katanya.

 

Dialog sepatutnya bermula pada 10 pagi, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tetapi dibatalkan atas arahan polis untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

 

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Najib tidak menghadiri program dialog itu kerana faktor keselamatan atas nasihat Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.