Khalid Kritik Azmin Lagi Isu Air

Pelabuhan Klang – Kelewatan Kerajaan Selangor menyelesaikan penstrukturan semula air bakal menyebabkan rakyat menderita.

 

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bukan sahaja Langat 2 tidak dapat diteruskan malah kerajaan Selangor juga tidak melaksanakan projek HORAS yang bertujuan menambah bekalan air bersih.

 

“Kerajaan Negeri perlu cepat bertindak bagi memenuhi keperluan pengguna dan industri.

 

“Tiada alasan untuk pengambilalihan air oleh kerajaan negeri ditangguhkan lagi kerana perkara asas perjanjian telah saya selesaikan, katanya yang meletak jawatan September tahun lalu.

 

Beliau menghadiri program Tahlil Perdana dan Sajian Rakyat di Pulau Indah pada Sabtu.

 

Abdul Khalid berkata, masalah kewangan bukan alasan kerana kerajaan Persekutuan telah setuju memberi dana RM2 bilion untuk kerajaan Selangor ambil alih empat syarikat konsesi.

 

“Jumlah ini tidak seberapa berbanding aset-aset air yang dimiliki kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai RM7 bilion,” katanya.

 

Katanya, isu pemilikan tanah sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk pengambilalihan itu ditangguh kerana ia telah pun dipersetujui antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini.

 

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mendakwa bekakan air terawat berada paras kritikal kerana projek penambahan air tidak dapat dilaksanakan sehingga penstrukturan selesai

 

Sementara itu beliau menafikan dakwaan akan menyertai Pas kerana hubungan rapatnya dengan pemimpin pro ulama.

 

Menurutnya hubungan rapat itu telah terjalin semenjak beliau menjadi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 

“Masuk Pas? Perkara ini tiada dalam agenda saya,” jawabnya ringkas ketika ditanya desas desus itu selepas program Tahlil Perdana dan Sajian Rakyat di Pulau Indah pada Sabtu.

 

Beliau sebelum itu hadir sebagai pemerhati bebas di Muktamar Pas di Kuala Selangor dan disambut meriah pemimpin dan ahli Pas yang seakan-akan mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak itu akan menyertai Pas.

 

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, perubahan kepemimpinan Pas disebabkan sikap campur tangan DAP dalam hal ehwal parti itu.

 

Katanya, perubahan drastik dalam Pas itu sebagai pengajaran kepada parti lain supaya tidak mencampuri urusan dalaman rakan parti lain.

 

Beliau bagaimanapun percaya, Pas dan DAP mampu menyelesaikan masalah antara mereka dengan baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.