Hormati Gunung Kinabalu, Kata Wakil Rakyat Sabah

KOTA KINABALU – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di Ranau menyeru semua masyarakat, baik jauh mahupun dekat, supaya menghormati Gunung Kinabalu.

 

Datuk Siringan Gubat yang sedih dengan insiden yang berlaku di gunung itu sejak seminggu lalu, berharap nasib malang tidak lagi akan menimpa di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

 

Pada 30 Mei, lima pelancong asing menanggalkan pakaian dan berbogel setibanya di puncak gunung setinggi 4,095.2 meter itu dan hari ini, lebih 100 pendaki terkandas di gunung selepas gempa bumi berukuran 5.9 magnitud menggegarkan Ranau, kira-kira 108 km dari sini pagi Jumaat.

 

Mengenai spekulasi yang mengaitkan perbuatan pelancong berbogel dengan gempa bumi, Siringan, yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, berkata ia tidak bijak untuk menyalahkan secara langsung perbuatan warga asing yang tidak bermoral itu.

 

“Mereka (pelancong) mungkin telah menimbulkan kemarahan semangat gunung, tetapi kita tidak boleh mengetepikan sentimen rakyat di Sabah, terutama masyarakat Kadazandusun yang menganggap gunung itu suci.

 

“Kami sangat gembira dan berbangga bahawa ramai orang dari seluruh dunia datang untuk mendaki Gunung Kinabalu.

 

Tetapi pada masa yang sama, kami juga berharap mereka menghormati gunung itu seperti yang dilakukan kami (rakyat Sabah),” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

 

Siringan percaya semua orang mengamalkan kepercayaan masing-masing dan oleh itu tidak ada alasan bagi mereka untuk tidak menghormati Gunung Kinabalu, yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

 

Siringan, yang juga bekas pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Sabah, juga berharap garis panduan yang ketat dikenakan ke atas pendaki. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.