Harakah Ditegur Kurang Tonjol Peranan Ulama

Kuala Selangor – Harakah, yang merupakan lidah rasmi PAS hari ini ditegur perwakilan Kuala Terengganu kerana kerap melaporkan berita yang hanya menonjolkan golongan ulama berbicara soal agama semata-mata.

 

Walhal, Ahmad Amzad Hashim berkata golongan ulama kerap kali berbicara soal isu semasa merangkumi kos sara hidup, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

 

Ujarnya, jika trend itu berterusan, Harakah akan membentuk minda pembacanya bahawa golongan ulama hanya mampu bercakap soal agama dan tidak mampu bersaing dengan pemimpin parti lain yang agresif membawa isu-isu rakyat.

 

“Golongan ulama dilihat hanya cakap hal-hal agama sahaja. Sedangkan mereka boleh bercakap hal-hal berkaitan ekonomi, cukai GST, isu semasa, tetapi mengapa ia tidak ditonjolkan?,” katanya dalam sesi perbahasan usul penhurusan organisasi, di Stadium Tertutup Kuala Selangor, pagi ini.

 

Bukan itu sahaja Ahmad turut hairan mengapa Harakah dilihat lebih memaparkan laporan parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat (PR) sehingga menenggelamkan kehebatan dan kejayaan wakil rakyat dan pimpinan parti Islam itu.

 

“Harakah hendaklah memainkan peranan penting menonjolkan prestasi ahli-ahli parlimen PAS. Kita tidak mahu Harakah menonjolkan prestasi ahli-ahli parlimen parti lain melebihi ahli-ahli parlimen kita sendiri.

 

“Ia ditunjukkan (contoh) dalam pemilihan berita dan gambar pimpinan parti lain lebih banyak dari PAS. Dan ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya lagi.

 

Sehubungan itu, menurut Ahmad adalah tidak salah bagi Harakah selaku media rasmi PAS menukar sedikit gaya penyampaian dan laporan mereka supaya ahli-ahli tidak terkeliru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.