Iklan Cari Pekerja Diskriminasi Bumiputera – KJ

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin membangkitkan mengenai satu iklan mencari pekerja untuk jawatan jurutera pengeluaran yang menetapkan kecenderungan untuk memilih calon bukan bumiputera.

Beliau memuatkan satu versi iklan tersebut di Twitter, yang menyatakan “Hanya bukan bumiputera akan dipilih dan kami menggalakkan mereka untuk memohon”.

“Jika iklan ini benar, ini adalah contoh diskriminasi di tempat kerja. Saya sudah membantikannya sebelum ini, namun ramai menafikannya,” tambahnya.

Khairy turut memuatkan gambar asal iklan tersebut dari laman jobstreet.com selepas diberitahu mengenai perkara itu oleh pengguna Twitter yang lain.

Dalam versi asalnya, iklan tersebut menyebut: “Sebaik-baiknya bukan bumiputera digalakkan memohon”.

Khairy yang mengulas iklan asal tersebut berkata, ia tidaklah lebih baik.

Iklan tersebut adalah untuk kekosongan di loji syarikat tersebut di Tikam Batu, Kedah.

Tulisan menteri berkenaan menarik pelbagai reaksi, dan ada di antaranya yang membangkitkan bahawa iklan seperti itu bukanlah perkara ganjil.

Isu mengenai diskriminasi ke atas bumiputera dari segi gaji dan pengambilan pekerja turut dibangkitkan oleh menteri berkenaan semasa Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Semakan pada petang ini di laman jobstreet.com bagaimanapun menunjukkan iklan tersebut telah dipinda dan syarikat tersebut kini mengalu-alukan permohonan calon bumiputera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.