KUALA LUMPUR – Ketua PKR Titiwangsa Syed Badli Shah Syed Osman menggesa Datuk Seri Rafizi Ramli memberi laluan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil alih jawatan timbalan presiden parti itu.
Hal ini kata Syed Badli, spekulasi peletakan jawatan Rafizi dan keputusannya mengambil cuti panjang menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli parti dan kerajaan perpaduan.
Justeru, beliau meminta Rafizi segera menjawab semua spekulasi itu, bukannya membiarkan ia menjejaskan kestabilan parti.
“Rafizi tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis isu remeh seperti ini di mata umum, sedangkan beliau seharusnya memfokuskan segala usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi dan kerajaan.
“Namun, jika benar segala spekulasi yang diperkatakan ini, saya ingin mencadangkan Rafizi untuk berkompromi dengan memberi laluan mudah kepada Saifuddin bagi menggalas tugas sebagai timbalan presiden tanpa perlu dicabar (dalam pemilihan peringkat pusat bulan ini),” gesa beliau.
Syed Badli berkata, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri adalah pemimpin senior dan berpengalaman yang mampu membantu Anwar mengemudi parti sebagai orang nombor dua, lapor FMT pada Selasa.
Mac lalu, Rafizi dilaporkan berkata, beliau akan mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR yang dimenanginya pada 2022 selepas menewaskan Saifuddin dengan majoriti besar 16,668 undi.
Tetapi, khabar angin bertiup kencang minggu lalu mendakwa Rafizi sudah meletak jawatan sebagai menteri ekonomi selepas pemilihan bahagian PKR yang menyaksikan beberapa pemimpin sehaluan dengannya tewas.
Anwar kemudian berkata, cuti panjang Rafizi bukan isu dan berseloroh beliau juga ingin mengambil cuti beberapa hari tidak lama lagi.
Saifuddin masih tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan peringkat pusat PKR. Ahad lalu, beliau dilaporkan sudah mengadakan perbincangan panjang lebar dengan Rafizi dan beberapa pertemuan dengan Anwar mengenai bertanding pemilihan parti.
Katanya, pengumuman akan dibuat tidak lama lagi, sebelum pencalonan ditutup 9 Mei ini.