KUALA LUMPUR – Isu perkauman tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah.
Adun Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan, di Sabah, masyarakat pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni terdiri daripada Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis dan lain-lain membesar bersama, bersekolah bersama dan menyambut perayaan antara satu sama lain tanpa halangan.
Justeru beliau menggesa, keharmonian dan perpaduan yang wujud di Sabah adalah aset yang sangat berharga. Ia perlu dipertahan dan dipelihara.
“Apabila membaca tentang isu perkauman di Semenanjung Malaysia, sering timbul persoalan mengapa perkara seperti ini masih berlaku selepas lebih 60 tahun merdeka?
“(Dalam kemajmukan kaum yang ada) agama diamalkan dengan rasa hormat dan saling memahami. Masyarakat pelbagai agama sering memberi sokongan antara satu sama lain semasa sambutan keagamaan dan kebudayaan. Keharmonian antara agama menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Dalam politik, memang wujud perbezaan sokongan parti, tetapi ia tidak memecah-belahkan masyarakat. Berbeza pandangan politik bukan alasan untuk memutuskan persahabatan atau hubungan kejiranan,” ujar Bendahari Umno Sabah itu dalam kenyataan pada Selasa.
Kata Salleh, politik di Sabah lebih tertumpu kepada pembangunan dan keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan dan bekalan air bersih. Pemimpin datang dari pelbagai latar belakang dan berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat.
“Tidak perlu mengulas panjang tentang apa yang berlaku di tempat lain, tetapi satu perkara jelas isu perkauman seperti itu tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah.
“Teruskan hidup dengan semangat saling menghormati tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik,” gesa beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.