Jangan Terpengaruh Dakwaan Pembangkang Dakwat Mudah Ditanggalkan

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menasihatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan pembangkang berhubung isu penggunaan dakwat pada jari yang mudah ditanggalkan bagi pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pada Sabtu.

Menurutnya, pengundi perlu memberi kepercayaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana suruhanjaya itu telah membuat kajian sebelum menggunakan dakwat tersebut bagi memastikan proses pengundian dijalankan secara telus.

“Sebelum ini ada yang mengadu cakap tidak boleh menunaikan solat kerana dakwat tidak tanggal tetapi semua itu telah diambil kira oleh SPR, tetapi pembangkang sahaja mainkan isu ini untuk kelirukan rakyat. “Bila macam ini mereka cakap SPR tidak telus dan berpakat dengan Barisan Nasional (BN) sebab hendak tunjuk berlaku ketidakadilan di situ. Bila tempat mereka menang tak pula buat tuduhan, tapi kalau kalah ada sahaja tuduhan tidak berasas dibuat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Menurut Ahmad Bashah, dakwaan calon Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa dakwat yang dicelup pada jari yang digunakan untuk proses pengundian awal hari ini mudah ditanggalkan hingga menyebabkan kemungkinan pengundi boleh membuang undi untuk kali kedua.

Menurutnya, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana nama pengundi yang telah mengundi akan dipotong daripada senarai pemilih dan SPR akan melaksanakan saringan khas bagi mengelak mereka mengundi kali kedua.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Jimat Belanja Dapur (JBD) Peringkat Negeri Kedah yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Persekutuan (FAMA) Tan Sri Badaruddin Amiruddin dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.