Noriah Tak Sedap Hati Naik Helikopter Itu

KUCHING – Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, pada mulanya tidak mahu menaiki helikopter kerana berasa tidak sedap hati sebaliknya lebih rela menggunakan kereta walaupun jarak perjalanan memakan masa panjang.

 

Menurut sebuah portal berita, perkara itu dimaklumkan oleh Noriah sendiri kepada salah seorang saudara terdekatnya melalui telefon beberapa minit sebelum berlepas.

 

Anak saudara Noriah, Ummu Hani Assaidah Abdullah, 30 berkata, dia mendapat tahu perkara tersebut daripada ibunya yang menerima panggilan daripada Ahli Parlimen Sungai Besar itu.

 

“Emak saya beritahu yang Noriah tidak mahu menaiki helikopter sebab takut (tidak sedap hati).

 

“Dia (Noriah) nak naik kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Ummu Hani Assaidah Abdullah menambah, setakat ini dia tidak mendapat laporan rasmi daripada mana-mana pihak dan kejadian yang berlaku pun diketahuinya daripada kawannya yang mengetahui berita tersebut menerusi media sosial.

 

Sebuah helikopter milik Hornbill Skyways yang dipercayai membawa lima penumpang termasuk Noriah terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara di Betong, Sarawak, petang tadi.

 

Difahamkan, pesawat yang berlepas dari Betong menuju ke Kuching, Sarawak dan terputus hubungan kira-kira pukul 5 petang. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.