PRK Permatang Pauh: Isu hudud Tidak Jejas Undi Penyokong PAS, Kata Mat Sabu

PERMATANG PAUH – Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin isu hudud tidak akan menjejaskan undi kepada calon PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

 

Malah Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu menegaskan, isu hudud yang dibangkitkan pelbagai pihak termasuk akar umbi PAS di Permatang Pauh itu akan menambah lagi jumlah undi kerana pihaknya telah membuat segala persediaan.

 

“Segala persiapan telah kami lakukan dan tidak akan menjejaskan undi, bahkan akan bertambah lagi kali ini,” katanya ringkas dalam satu sidang media di pusat media di Yayasan Aman di sini.

 

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut serta dalam sidang media itu turut meminta supaya pihak media tidak bertanyakan soalan yang sedemikian dan sekaligus menimbulkan masalah kepada pembangkang.

 

“Jangan tambahkan lagi banyak cerita di dalam surat khabar Utusan, sebab kami sudah buat persiapan,” katanya.

 

Mengulas mengenai keputusan PRK Rompin semalam, Izzah berkata meskipun kemenangan memihak kepada BN, kemerosotan hampir separuh majoriti yang diperolehi sebelum ini memberi isyarat rakyat menolak kerajaan.

 

“Berlaku pengurangan majoriti kepada BN ini dalam PRK menandakan satu suasana yang tidak baik kepada BN.

 

“Apa yang berlaku di Rompin ini menunjukkan bahawa jika mengikut persempadanan yang ada, Putrajaya akan terlepas daripada BN dalam PRU akan datang.

 

“Dan trend yang berlaku dalam kawasan pendalaman itu, saya yakin akan diterjermahkan di Permatang Pauh nanti dan kami yakin kebanyakan daripada pelbagai golongan akan mengundi dan undi esok lebih hebat,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.