Wanita Rugi RM10,000, Beg Kena Curi Ketika Solat

Gua Musang – Seorang wanita berusia 50 tahun mendakwa kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai bersama barangan berharga yang disimpan dalam beg tangannya dicuri ketika sedang solat Zohor berjemaah di Masjid Razaleigh di Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, mangsa berada di barisan hadapan bersolat Zohor berjemaah bersama lapan wanita lain dan beg tangan itu diletakkan di hadapannya.

Selepas sujud akhir pada rakaat ke empat, mangsa seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) mendapati beg tangannya itu hilang namun tidak boleh berbuat sesuatu kerana masih dalam solat, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata beg yang mengandungi barang kemas, dua telefon bimbit, kunci kereta, pasport antarabangsa, buku akaun Tabung Haji dan wang tunai RM5,000 dipercayai dicuri ketika mangsa bersama jemaah lain sedang sujud.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan kes itu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan setakat ini belum ada tangkapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.