Utara Thailand Digegar Gempa Bumi Kuat

BANGKOK 5 Mei – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter, menggegar bahagian utara Thailand petang ini, mengakibatkan penduduk yang panik bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Gegaran yang tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa itu turut menyebabkan bangunan-bangunan retak, tingkap pecah dan jalan merekah serta mendap.

Keadaan turut kelam-kabut di Lapangan Terbang Antarabangsa Mae Fah Luang di Chiang Rai sehingga memaksa terminal dikosongkan, namun tiada sebarang kerosakan dikesan di landasan kapal terbang, kata Pengurus Besarnya, Damrong Klongakara.

Kuil pelancongan terkenal Buddha, Wat Rongkhun, turut ditutup sementara atas alasan keselamatan, sementara di daerah Phan, Chiang Rai, gegaran kuat menyebabkan jalan raya merekah sebesar saiz tiga buah kereta.

Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, pusat gempa bumi itu terletak kira-kira sembilan kilometer di selatan Mae Lao dan 27 kilometer di barat daya Chiang Rai pada kedalaman 7.4 kilometer.

Gegaran turut dirasai sehingga ke Yangon, Myanmar, wilayah Chiang Mai juga di utara Thailand serta Bangkok.

Thailand jarang digegar gempa bumi dengan gegaran terakhir sebelum ini berlaku pada 13 Disember 2006 di Chiang Mai dengan magnitud 5.1 pada skala Richter. – AGENSI

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.