PRK Bukit Gelugor : DAP Kemungkinan Pilih Anak Karpal Bertanding

Isyarat paling jelas beliau hampir pasti terpilih sebagai calon Bukit Gelugor, apabila anak ketiga mendiang Karpal Singh, Ramkarpal, berkata:

“Jika semuanya tiada masalah, saya patut mula bercakap kepada orang ramai”.

Ramkarpal berkata, kepimpinan DAP kemungkinan besar mendedahkan nama calon selewat-lewatnya esok ekoran tarikh penamaan calon yang sudah dekat, iaitu 12 Mei.

Dan justeru, tambahnya, pihak yang terpilih mesti bersedia.

Beliau mengesahkan namanya disenarai pendek DAP untuk pengundian pada 25 Mei ini.

“Parti mempertimbangkan saya selepas saya beri isyarat pada kepimpinan bahawa saya bersedia untuk pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun, kini keputusannya terserah kepada kebijaksaan parti untuk memilihnya, tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam sebuah majlis memperingati bapanya di Pulau Pinang malam tadi.

Karpal meninggal dunia ketika umur 74 tahun dalam kemalangan jalan raya bersama pembantu setianya Michael Cornelius sebelum ini.

Sementara itu, Ramkarpal ketika ditanya nama-nama lain disenaraikan, beliau berkata tidak tahu menahu.

“Ada lima? Saya tidak pasti. Tetapi saya memang ada dalam senarai, katanya. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.