Mangsa Lemas Tersangkut Batu

Kuala Kubu Bharu: Percutian pasangan suami isteri warga India di Air Terjun Sungai Chiling di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas dan tersangkut pada batu petang kelmarin.

Difahamkan, mayat wanita dikenali sebagai Kedrthana Karahali Anandatpa, 22, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang oleh suaminya pada jam 8.45 malam kelmarin.

Cuaca gelap selain faktor muka bumi menyebabkan usaha membawa keluar mayat mangsa mengalami sedikit kesukaran dan mengambil masa selama enam jam untuk sampai ke kawasan selamat.

Suami mangsa dikenali sebagai Umis, 20-an, bagaimanapun dilaporkan selamat manakala mayat isterinya dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Penolong Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bermandi-manda di air terjun itu bersama suaminya, kira-kira jam 1 tengah hari petang kelmarin.
“Ketika sedang mandi di lokasi kejadian, kita tidak menolak kemungkinan mangsa tergelincir atau berada di kawasan dalam hingga menyebabkannya tenggelam dan lemas sebelum dihanyutkan arus,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.