Khalid Janji Dengan Sultan Selangor, Jadi MB Hanya Untuk Dua Penggal

Shah Alam – Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, beliau telah berjanji dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memegang jawatan menteri besar hanya untuk tempoh dua penggal.

Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu berkata, tidak memegang jawatan menteri besar bagaimanapun bukan bermakna beliau berhenti terus daripada politik sebaliknya akan terus menjadi wakil rakyat biasa.

“Saya telah menghadap Tuanku untuk mengatakan hasrat saya hanya ingin menjadi menteri besar selama dua penggal sahaja. Saya sudah berjanji dengan Tuanku.

“Perjumpaan ini bukan rahsia lagi, saya sudah bercakap dengan Tuanku, berjanji dengannya, saya tidak akan berhenti, tetapi hanya bersedia menjadi Menteri Besar tidak lebih 10 tahun,” katanya dalam ruangan twitternya hari ini.

Abdul Khalid bagaimanapun tidak memaklumkan tentang reaksi sultan berhubung pernyataan itu.

Sebelum ini, beliau pernah menyatakan hasrat itu dalam laman sosial Twitter miliknya, yang beliau akan menamatkan perkhidmatannya sebagai Menteri Besar sehingga tamat tempoh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), iaitu kira-kira empat tahun lagi.

Khalid MB 2

Sementara itu, ditanya mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuh Klang berkata, beliau antara orang yang menggalakkan sistem itu dilaksanakan.

Bagaimanapun, ujar beliau, bukan sekarang kerajaan perlu melaksanakannya kerana masih terdapat jurang perbezaan yang ketara daripada segi pendapatan per kapita rakyat di negara ini.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah rakyat yang berpendapatan RM1,000 sebulan terpaksa membayar cukai yang sama banyak dengan golongan bergaji RM10,000 sebulan.

“Kalau rakyat miskin minum kopi ‘o’ dikenakan cukai 10 sen, sudah tentu jumlah itu agak besar, tetapi bagi yang berpendapatan tinggi, jumlah cukai 10 sen tidak memberi kesan.

“Sebab itu, sebelum kerajaan hendak melaksanakan GST, mereka perlu mengambil kira golongan berpendapatan rendah,” katanya. – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.