KOTA KINABALU, – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa Sabah memerlukan kestabilan politik dan bukan perpecahan, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan itu berkata, tumpuan semua pihak seharusnya terarah kepada perpaduan, kestabilan dan pembangunan, bukan politiking yang tiada kesudahan.
“Ramai yang bertanya kepada saya BN akan bergabung dengan siapa dalam menghadapi PRN Sabah? Pelbagai pandangan dan andaian telah dibuat. Ini perkara biasa dalam demokrasi, dan BN sentiasa terbuka,” katanya.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah tunjang Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, maka kerjasama itu wajar diteruskan di Sabah demi kepentingan rakyat.
“Kerjasama antara BN dan PH tidak bersifat eksklusif. Kita terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan yang mempunyai aspirasi yang sama. Yang penting ialah keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pakatan politik di Sabah perlu bersandar kepada prinsip keadilan, termasuk pengagihan kerusi yang saksama, dasar bersama yang menghormati autonomi Sabah, serta sikap saling menghormati.
“Akomodasi politik mesti diasaskan kepada saling hormat-menghormati, bukan dominasi atau sikap ‘abang besar’,” tegasnya.
Salleh mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar bergerak sebagai satu pasukan setelah prinsip-prinsip utama dipersetujui.
“Ini bukan perjuangan peribadi tetapi komitmen bersama demi masa depan Sabah,” katanya.