Razlan Rafii Kecam Fadhli Shaari: Hentikan Politik Murahan Ketika Rakyat Dilanda Musibah

- Advertisement -

CYBERJAYA– Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menempelak Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, kerana didakwa terus bermain politik murahan ketika negara sedang berhadapan dengan bencana dan musibah.

Dalam satu kenyataan tegas di Facebook, Razlan menyifatkan tindakan Fadhli sebagai tidak matang, tidak berempati, dan hanya mencetuskan ketegangan politik, bukannya membantu rakyat yang terkesan.

Teguran ini merujuk kepada sindiran Fadhli terhadap Menteri Besar Selangor susulan kejadian letupan paip gas dan kebakaran besar yang berlaku di Putra Heights, Puchong, baru-baru ini, yang mengakibatkan ratusan rumah terjejas.

“Beliau memilih untuk terus bermain politik murahan, menabur sindiran dan fitnah, ketika rakyat sedang memerlukan empati dan bantuan,” kata Razlan.

Razlan turut menyentuh keperluan semua pemimpin untuk bersatu hati ketika negara menghadapi dugaan – bukan mencari mileage politik atau menyebarkan persepsi negatif yang menambahkan penderitaan mangsa.

“Kalau benar berlaku bencana besar di negara ini, na’uzubillah – saya berdoa agar tiada lagi ahli politik seperti ini yang hanya tahu menyalahkan dan mencari populariti atas penderitaan rakyat,” katanya lagi.

Menurut beliau, tindakan Fadhli hanya akan melukakan hati mangsa, sekaligus menjejaskan semangat perpaduan rakyat yang amat diperlukan ketika ini.

Razlan menyeru semua pihak, khususnya rakyat Malaysia, agar menolak politik sempit yang dibawa PAS dan mengutamakan semangat kebersamaan dalam membantu mereka yang terkesan.

“Negara tidak akan ke hadapan jika masih ada ahli politik yang suka ‘menangguk di air keruh’. Politik yang tidak berjiwa rakyat tidak akan ke mana,” tegasnya.

Beliau turut memuji usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor dan agensi-agensi keselamatan dalam menangani bencana tersebut, dan menyeru agar mereka tidak terpengaruh dengan suara-suara yang cuba melaga-lagakan.

“Rakyat lebih memerlukan keprihatinan daripada perbalahan,” katanya mengakhiri kenyataan.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat