KUALA LUMPUR, – Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini menggesa kerajaan untuk mengiktiraf PETRONAS sebagai institusi utama strategi geoekonomi negara dalam menghadapi gelombang baharu perang dagang yang dicetuskan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh leka terhadap dasar tarif unilateral yang sedang diperkenalkan semula oleh Trump yang bukan sahaja menyasarkan China dan Eropah, malah turut menjejaskan negara membangun seperti Malaysia.
“Trump melihat perdagangan bukan sekadar aktiviti pasaran, tetapi sebagai senjata kuasa negara. Tarif balas ke atas Malaysia sebanyak 24% akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi kita,” ujar beliau.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Christina Tee, dasar itu dijangka mengakibatkan sehingga 50,000 kehilangan pekerjaan, terutama dalam sektor eksport seperti elektronik, sarung tangan perubatan dan komponen automotif.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan, dalam situasi ekonomi global yang semakin mencabar, Malaysia memerlukan pelan geoekonomi jangka panjang yang kukuh, dan PETRONAS perlu diberi pengiktirafan sebagai instrumen pertahanan serta pemangkin utama strategi tersebut.
“PETRONAS bukan hanya syarikat minyak dan gas, tetapi jantung geoekonomi Malaysia. Ia telah memainkan peranan penting menjana pendapatan negara, melebarkan diplomasi perdagangan, serta memperkukuh pengaruh Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya PETRONAS diberi autonomi dalam operasi dan pelaburannya agar terus berupaya bertindak balas terhadap risiko geopolitik secara fleksibel, seperti yang dilakukan sewaktu kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dalam perbandingan global, beliau menyifatkan PETRONAS setaraf dengan entiti geoekonomi utama lain seperti ARAMCO (Arab Saudi), Gazprom (Rusia), Sinopec (China) dan Equinor (Norway) yang menjadi alat strategik kepada negara masing-masing.
“Sama seperti McDonald’s tidak boleh berkembang tanpa McDonnell Douglas, pasaran bebas juga tidak akan berfungsi tanpa kekuatan kuasa negara,” kata beliau merujuk kepada analogi oleh penulis tersohor Thomas Friedman mengenai hubungan antara kuasa ekonomi dan geopolitik.
Mengakhiri kenyataan, beliau menggesa semua pihak agar tidak melemahkan PETRONAS dengan campur tangan politik sempit dan menyifatkan syarikat itu sebagai milik rakyat yang perlu dipertahankan demi masa depan ekonomi dan kedaulatan negara.
“PETRONAS adalah tiang seri strategi geoekonomi Malaysia dan kita perlukan seorang ‘nakhoda’ negara yang tahu mengemudi layarnya,” tegas beliau.
Wan Ahmad Fayhsal juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa serta Pengerusi Portfolio Hal Ehwal Antarabangsa bagi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional.