CYBERJAYA – Menteri Pendidikan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Fadhlina Sidek, menzahirkan kecaman keras terhadap tindakan seorang pempengaruh politik media sosial yang menyebarkan dakwaan palsu bahawa pelajar sebuah sekolah menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Cina.
Beliau menyifatkan tindakan itu bukan sahaja tidak berasas, bahkan memperlihatkan satu bentuk kejahilan melampau yang digelarnya sebagai “bebalisme” – sikap yang bukan sahaja jahil, tetapi juga angkuh, tidak bertanggungjawab, dan enggan memohon maaf apabila kebenaran terdedah.
Dakwaan tersebut, menurut Fadhlina, berpunca daripada ketidakmampuan individu terbabit membezakan antara lagu rasmi Negeri Perak dan lagu Negaraku. Lagu kebangsaan Malaysia memang diinspirasikan daripada lagu Negeri Perak, namun lirik dan penggunaannya adalah berbeza dan jelas dipelajari dalam sistem pendidikan.
“Setakat ini saya telah menghafal sekurang-kurangnya tujuh lagu negeri kerana ia mudah dan tidak panjang seni katanya. Lagu negeri adalah lambang kecintaan dan taat setia kepada negeri dan pemerintah negeri,” kata Fadhlina.
Beliau turut menegaskan bahawa nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri dan lafaz Rukun Negara adalah sebahagian daripada rutin utama setiap kali beliau menghadiri program rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Fadhlina menjelaskan mengapa beliau menggunakan istilah “bebalisme” untuk menggambarkan insiden ini
“Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membedakan lagu Negaraku dan lagu Negeri Perak. Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah. Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri,” katanya tegas.
Menurutnya, bebalisme bukan sekadar kejahilan, tetapi satu bentuk kecuaian moral yang membawa kepada kerosakan masyarakat apabila disebarkan oleh individu yang mempunyai pengaruh dalam talian.
Fadhlina menekankan bahawa rakyat tidak boleh membiarkan suara-suara yang menunggang isu politik, kaum dan agama tanpa fakta, terus menguasai ruang awam.
“Kita harus mengangkat darjat dan martabat negara ini dengan kekuatan ilmu. Bukan dengan bebalisme seperti ini. Kita harus angkat harakat insan dengan menjadi suri teladan, bukan pempengaruh yang menunggang isu politik,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pempengaruh media sosial memainkan peranan mendidik dan menyatukan masyarakat, bukan menyebar kebencian dan kekeliruan.
“Dalam konteks agama, pempengaruh adalah mereka yang digelar sebagai yang punya ‘qudwah hasanah’, mereka yang mengangkat ‘makarimal akhlaq’. Dalam budaya kesantunan kita, mereka adalah golongan yang membawa jenama ‘suri teladan’,” tambah beliau.
Fadhlina turut mengingatkan parti-parti politik agar tidak menjadi pelindung kepada individu yang menyebar fitnah demi kepentingan politik jangka pendek.
“Jika ada parti politik yang masih menggunakan dan menaja beliau untuk memfitnah dan melakukan kerosakan dalam masyarakat, maka rosaklah muka bumi ini dengan kerosakan yang ditaja,” katanya dengan tegas.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru ibu bapa agar lebih berwaspada dengan pengaruh luar terhadap anak-anak dan mendidik mereka untuk membesar dalam semangat saling menghormati dan memperkukuh perpaduan.
“Anak-anak kita mesti membesar dalam budaya ‘Lit-tarafu’ – supaya mereka saling mengenal, saling memperkuat, saling mendukung dan membina negara ini dengan kekuatan sebagai satu bangsa yang kuat,” ujarnya.
Fadhlina mengakhiri kenyataannya dengan peringatan klasik yang sarat dengan makna:
“Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa.”