PRK Rantau: Itu Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Kata Calon PH

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengeksploitasi kanak-kanak untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calon Pakatan Harapan, Dr S Streram, menafikan wujud amalan itu, malah apa yang diviralkan kononnya situasi sedemikian berlaku adalah satu pembohongan untuk membina persepsi buruk kepada PH.

Katanya, beliau sudah melihat gambar yang diviralkan di media sosial dan menjelaskan itu hanya satu pertandingan mewarna dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

“Ini (tuduhan) tidak benar, saya sudah melihat gambar (dalam acara itu) dan ia pertandingan pewarna. Mungkin mereka memberikan hadiah selepas pertandingan.

“Bagaimana kita boleh mengeksploitasi kanak-kanak, itu tindakan salah. Kita menghormati kanak-kanak,” katanya selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Persatuan Cina Nam Kong Soh di sini, hari ini.

Sebelum ini, tersebar di media sosial gambar program berkenaan yang menunjukkan kanak-kanak berdiri di atas trak yang lengkap dengan pembesar suara.

Mereka berdiri dengan bahagian belakang tertera kain rentang memaparkan beberapa pemimpin PH.

Dr Streram berkata, memandangkan tiada pentas lain di program berkenaan, pentas di atas trak lori itu digunakan untuk menyempurnakan acara berkenaan.

Sementara itu, Dr Streram menolak tuntutan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai rekod prestasi lebih baik di DUN berkenaan.

“Saya tidak tahu siapa ‘bosku’, tetapi kita sudah membangkitkan beberapa isu yang kita tahu BN tidak melakukan apa-apa (sebelum ini).

“Sistem pengangkutan awam masih rendah, klinik kesihatan tidak dinaik taraf, tiada stesen bomba dan tiada hospital. Adakah ini prestasi (Mohamad) ‘bosku’?” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.