Jangan Percaya Janji Tun M – Abang Johari

BELAGA – Ketua Menteri, Datuk Pa­tinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat Sarawak agar jangan sesekali mempercayai janji Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembangkang akan memberi kuasa besar kepada negeri ini jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu hanya bercakap besar apabila menabur janji tersebut kerana hakikatnya beliau sendiri menga­baikan Sarawak selama 22 tahun semasa memerintah sebelum ini.

Sebaliknya kata beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat negeri ini.

“Saya bukan bercakap besar atau mahu ‘mengangkat bakul’ Najib tetapi apa yang dilakukan oleh Dr. Mahathir untuk Sarawak selama 22 tahun meme­rintah?

“Alhamdullilah…di bawah Najib kita menikmati pembangu­nan ekonomi secara te­-
ratur. Najib sudah membuktikan (prihatin terhadap Sarawak) apabila menyerahkan pemilikan Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun,” katanya berucap dalam Majlis Penyerahan Rasmi HEP Bakun di sini hari ini.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Dr. Mahathir melabelkan anak Sarawak sebagai malas, tamak dan lembab hingga menyebabkan kelewatan pembangunan negeri ini.

Katanya, adalah tidak wajar Dr. Mahathir mengeluarkan kenya­ta­an itu kerana sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku pada negeri ini.

“Nya (beliau) nganok (marah) kata kita malas. Sebenarnya, nya (beliau) yang malas datang ke Sarawak… melawat kawasan dan meninjau sebarang projek pembangunan dilaksanakan di Sarawak.

“Ini yang menyebabkan ba­nyak projek tidak siap… jambatan tidak siap, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar hingga menyebabkan Sarawak agak ketinggalan pembangunannya berbanding negeri lain,” ujarnya.

Malah, kata Abang Johari, di bawah pemerintahan Dr. Mahathir, semua kuasa hendak dipusatkan kepada beliau sehingga banyak hak dan keistimewaan negeri ini terhakis.

Beliau turut mempertikaikan kenapa baru sekarang Dr. Mahathir mahu bercakap mengenai perkara itu, bukan semasa masih berkuasa.-Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.