Filem Dukun Catat Rekod Kutipan Tertinggi Hari Pertama Tayangan

KUALA LUMPUR – Baru sehari ditayangkan, filem Dukun mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat kutipan sebanyak RM 1.5 juta sekali gus menjadi filem sulung tempatan yang menerima kutipan tertinggi pada hari pertama tayangan.

Berkongsi rasa syukur, pelakon utamanya, Datin Seri Umie Aida, 44, memberitahu, dia sendiri tidak menjangkakan sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

Lebih-lebih lagi apabila filem lakonannya itu ‘terperap’ selama 12 tahun menanti untuk ditayangkan.

“Alhamdulillah, untuk hari pertama tayangan Dukun sudah mencatat kutipan sebanyak RM1.5 juta. Selepas 12 tahun diperam, ini adalah hikmah buat filem ini apabila menerima sokongan yang amat baik daripada penonton,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Malah Umie Aida memberitahu, dia turut menggunakan laman sosial peribadinya untuk menyampaikan rasa terima kasihnya kepada khalayak yang sudah menonton filem arahan Dain Said itu.

“Saya juga melahirkan rasa terima kasih saya dengan berkongsi gambar mereka yang sudah menonton. Bagi saya kejayaan ini juga ada kena mengena dengan pendekatan dalam mempromosikan filem ini melalui kaedah tular di media sosial,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai harapan untuk melihat filem ini menjadi filem pecah panggung, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 2002 menerusi filem Embun itu bagaimanapun enggan meletakkan harapan yang tinggi.

“Selepas filem ini tidak ditayangkan 12 tahun saya sudah tidak meletakkan apa-apa harapan.

“Bagaimanapun kejayaan pada hari pertama tayangan filem ini memberi harapan yang baik untuk filem ini dan saya harap lebih ramai yang dapat menonton filem ini di panggung,” katanya.

Sementara itu Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar mengesahkan kutipan tersebut yang dikira menerusi 133 buah pawagam seluruh Malaysia termasuk di negara jiran, Brunei Darussalam.

“Astro Shaw berbesar hati mengumumkan filem Dukun membuka tayangan di pawagam pada hari pertama dengan membuat kutipan menghampiri RM1.5 juta. Kutipan ini adalah hasil dari 120 pawagam.

“Namun pihak kami juga menerima berita baik daripada pihak pemamer mengenai penambahan pawagam yang menjadi keseluruhan tayangan Dukun sebanyak 133 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada penonton yang menonton filem ini di pawagam,” katanya.

Selain Umie Aida, filem Dukun turut menampilkan lakonan Faizal Hussein, Hasnul Rahmat, Elyana dan Adlin Aman Ramlie. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.