Iklan Sindir Malindo Air, Tak Perlu Tanggal Baju Untuk Sertai AirAsia

KUALA LUMPUR – AirAsia melancarkan pengiklanan mencari calon anak kapal yang berpotensi dan ia tidak melepaskan peluang “mengenakan” pesaingnya, syarikat penerbangan Malindo Air.

Di iklan itu tertera: “Kami tidak minta anda tanggal pakaian – Hanya zip dan jadi sebahagian pasukan syarikat penerbangan kos rendah terbaik dunia”.

The New Straits Times melaporkan pengambilan anak kapal AirAsia akan diadakan pada 15 April di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Malindo Air cuba menepis kritikan wakil rakyat, NGO dan pengguna media sosial mengenai proses temu bualnya yang dilaporkan membabitkan arahan calon wanita diarah membuka baju.

The Malay Mail semalam melaporkan Malindo Air meminta pemohon jawatan pramugari mendedahkan bahagian dada, bahagian kaki dengan mengarahkan skirt diselak, seluar panjang dilipat atau menanggalkan sarung kaki.

Dalam satu kenyataan, Malindo Air berkata proses itu diperlukan untuk memeriksa kesan pada badan pemohon dan ia dilakukan secara tertutup dan profesional oleh penyelia wanita.

Katanya, semua calon diberi taklimat terlebih dulu dan kebenaran diperoleh sebelum pemeriksaan dibuat.

NST dalam laporannya berkata kebanyakan pengguna media sosial melihat iklan AirAsia itu sebagai kelakar. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.