Video: Ella Rancang Kejutan Istimewa Buat Peminat, 16 April Ini

KUALA LUMPUR – Hampir 15 tahun tidak muncul dengan konsert solo berskala besar Ratu Rock kesayangan ramai, Ella kini mengumpul segala kudrat dan memerah keringat bagi merealisasikan impian untuk menakluk Stadium Malawati, Shah Alam yang menjadi lokasi konsert.

 

“Sebenarnya sampai sekarang perasaan berdebar itu tetap ada. Cuma saya bertuah kerana tak tertekan kerana segala yang dirancang berjalan dengan lancar.

 

“Buat masa ini saya hanya menjaga kesihatan dan berharap dapat memberikan yang terbaik pada malam konsert nanti,” katanya ketika sidang akhbar baru-baru ini.

 

Paling menggembirakan apabila tiket-tiket sudah terjual lebih 60 peratus dan pastinya lokasi yang boleh menampung 7000 peminat itu akan dipenuhi peminat setianya.

 

 

“Saya tahu peminat teruja untuk menyaksikan konsert solo begini. Saya beri jaminan yang peminat nanti pasti gembira dengan pilihan lagu yang lebih variasi, susunan muzik yang baik dan beberapa kejutan istimewa yang sudah dirancang,” kata Ella yang sudah turut menjemput Lord, ahli The Boys untuk sama-sama berpadu tenaga dalam satu segmen khas pada konsert berkenaan.

 

 

Kali terakhir Ella mengadakan persembahan dengan kumpulan The Boys sekitar 1989 dan pastinya gandingan ini bakal mengubat kerinduan peminat terhadap mereka yang pernah bersatu dalam kumpulan Ella &The Boys sebelum dia mengambil keputusan untuk bergerak solo selepas itu.

 

Selain Lord, Ella juga menjemput Bunkface yang dianggotai oleh tiga anak muda sebagai pembuka tirai persembahan.

 

Selain itu Ella juga bakal tampil berduet dengan adiknya, Korie dan Amy Search.

 

Menganggap persediaannya sudah melebihi 50 peratus, dia menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan dan Pengarah Konsert, Man Kidal untuk menentukan susunan lagu, susunan muzik dan beberapa hal berkaitan teknikal kepada mereka.

 

“Apabila tampil dengan konsert berskala besar begini pastinya tumpuan harus diberikan sepenuhnya.

 

“Peminat mahukan kepuasan dan saya perlu berusaha untuk memenangi hati mereka yang sudah mengeluarkan wang untuk menyaksikan persembahan saya.

 

“Insya-Allah, Konsert Ella 2016 bakal melakar sesuatu yang boleh diingati kepada semua,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.