Tun Mahathir Bersekongkol Dengan Individu Liberal, Kata Pakar Perlembagaan

SHAH ALAM – Gerakan Selamatkan Malaysia yang dikepalai mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dalam usaha menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak sangat berbahaya kerana ia turut disertai pihak yang ‘tidak percaya kepada sistem pemerintahan’ negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Datuk Prof Mahamad Naser Disa berkata, penglibatan pemimpin DAP dan beberapa individu yang dikaitkan dengan fahaman liberal dalam gerakan itu mampu memberi kesan jangka panjang kepada sistem di negara ini.

 

“Pada saya, apa yang dibuat oleh Tun M dan rakannya yang Melayu beragama Islam adalah sangat bahaya. Pertamanya, anda boleh lakukannya kalau memang tidak percaya kepada PM, tapi jangan ‘incite’ (hasut) untuk orang-orang yang tak percaya kepada sistem negara kita.

 

“Pada saya, orang yang macam Lim Kit Siang, DAP, mereka tak percaya kepada sistem pemerintahan negara kita. Mereka tak percaya kedudukan Islam sebagai agama negara, mereka masih anggap negara kita negara sekular, sedangkan perlembagaan kita meletakkan Islam sebagai agama negara.

 

“Kenapa dalam keadaan sebegini anda (Mahathir) mahu bawa orang-orang yang tak punyai keyakinan kepada sistem negara kita ini untuk terlibat dalam gerakan anda,” ujarnya kepada Antarapos dalam satu wawancara, baru-baru ini.

 

Pakar Perlembagaan itu mempertikaikan mengapa tokoh seperti Mahathir sanggup ‘menghalalkan cara’ demi bekerjasama dengan DAP dan individu yang dikaitkan berfahaman liberal seperti Datuk Zaid Ibrahim.

 

“Ada seorang yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri terbitkan buku, yang menghina dan membawa kesesatan berkaitan agama Islam. Orang begini yang anda mahu libatkan dalam kumpulan anda.

 

“Beliau (Zaid) bukan hanya nak menjatuhkan perdana menteri dan menghilangkan kepercayaan kepada perdana menteri, beliau akan menghilangkan kepercayaan kepada sistem kita beragama pun,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Mahamad Naser berkata ia bukan hanya berkisar kepada matlamat menjatuhkan Najib selaku Perdana Menteri semata-mata, tetapi orang ramai perlu melihat perkara ini dalam konteks yang meluas khususnya impak yang bakal dicetuskan sekiranya gerakan ini disokong secara ‘membabi buta’.

 

“Anda bayangkan, risiko dan akibat yang akan kita hadapi jauh lebih teruk daripada apa yang dibawa sekarang. Anda bersediakah untuk menerima satu keadaan masyarakat yang mempunyai kebebasan orientasi seks, perkahwinan sejenis, LGBT dan sebagainya,” soalnya.

 

Gerakan Selamatkan Malaysia sebelum ini mengadakan Kongres Rakyat 2016 dengan mengitar tuduhan lapuk untuk menjatuhkan Najib, yang menyaksikan Mahathir sepentas bersama pembangkang bagi merealisasikan matlamat berkenaan.

 

Gerakan itu kini dalam siri jelajah di beberapa negeri bagi menggembleng sokongan rakyat untuk menjatuhkan Najib menerusi Deklarasi Rakyat. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.