Rafizi Dituntut Minta Maaf Kerana Fitnah PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengemukakan surat tuntutan kepada Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli supaya meminta maaf kerana menuduh beliau menyalahgunakan wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung pembelian di sebuah gedung tekstil di ibu negara.

 

Kenyataan itu dibuat Mohd Rafizi pada himpunan membantah pelaksanaan GST di ibu negara, Sabtu lalu.

 

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, berkata beliau diarahkan Najib semalam untuk menyiap dan menyerahkan surat tuntutan itu secepat mungkin kepada Mohd Rafizi.

 

Katanya, Najib turut menuntut supaya Ahli Parlimen itu menarik balik kenyataan berkenaan. Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata, kes saman fitnah dikemukakan Najib terhadap bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik berhubung penerbitan artikel yang mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan dana kerajaan, akan didengar di hadapan hakim baharu.

 

Peguam itu berkata, ia berikutan Hakim Datuk John Louis O’Hara menarik diri daripada mendengar kes berkenaan untuk mengelak salah tanggapan masyarakat kerana beliau dan Liong Sik adalah Alumni Maktab Tentera Diraja (MTD), iaitu Persatuan Bekas Putera.

 

Sehubungan itu, Hafarizam berkata, kes itu akan dipindahkan dan didengar di depan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.